Tuesday 23 April 2013

Entrepreneur Profile by Popular Brand : Akio Morita - Pengasas Sony Corporation


Pengasas Sony

Akio Morita dilahirkan di Kosugaya, yang terletak berhampiran dengan bandar perindustrian Nagoya, Jepun, pada 26 januari 1921. Ibu bapanya, Kyuzaemon dan Shuko Morita, terlibat dalam industri pembuatan sake, aiitu sejenis minuman beralkohol yang diperbuat daripada beras dan merupakan minuman kebangsaan Jepun. Akio membesar dengan seorang adik perempuan dan dua orang adik lelaki. Akio ialah seorang yang serius dan kuat belajar semasa zaman kanak-kanaknya. kehidupan Akio banyak dipengaruhi oleh budaya Barat yang dibawa oleh pakciknya, Kenzo, yang menetap di Paris dan ditambah pula dengan minat ibunya yang menggemari muzik klasik Barat.

Pencapaian Akio dalam matapelajaran Matematik, Fizik dan Kimia amat membanggakan dan ketika berusia 17 tahun, beliau membuat keputusan untuk mendapatkan tempat di Jabatan Sains, Eighth Higher School. Usaha ini membolehkan beliau bertemu dengan seorang ahli fizik yang berwibawa di Jepun, iaitu Tsunesaburo Asada, seorang pensyarah di Osaka Imperial University, sebuah universiti yang terkemuka dan mempunyai kemudahan yang paling moden dalam bidang fizik. Akio, semasa berusia 19 tahun, belajar di Universiti Osaka tetapi terpaksa menamatkan pengajian pada tahun dua berikutan tercetusnya Perang Dunia Kedua. Di sini, Akio bertemu dengan seorang jurutera elektronik yang pintar, iaitu Masaru Ibuka. Setelah berakhirnya perang, Akio dan Masaru menceburkan diri dalam dunia perniagaan dengan menubuhkan sebuah syarikat elektronik.
 
Sejarah Penubuhan Sony
 
              Syarikat yang ditubuhkan oleh Akio Morita dan Masaru Ibuka diberikan nama Tokyo Tsushin Kogyo Kabushiki Kaisha, dan jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bermaksud Tokyo Telecommunication Engineering Company. Nama Sony Corporation hanya digunakan pada tahun 1958.
 
               Pada bulan Januari 1947, syarikat mereka mengilang meter volt, kusyen panas elektrik, dan penajan bunyi alat resonans bagi industri telegraf. Pada tahun 1950, produk pertama yang dihasilkan oleh Tokyo Tsushin Kogyo ialah sebuah alat perakam audio yang berat dan mahal. Malangnya, produk tersebut kurang mendapat sambutan. Seterusnya, Akio menukar nama syarikatnya kepada Sony, yang berakar daripada sonus. Dalam bahasa Melayu, maksudnya ialah bunyi.
 
              Pada tahun 1955, radio transistor Sony yang pertama dijual, dan pada tahun 1957, radio poket kecil yang pertama diperkenalkan. Namun demikian, barangan Sony masih tidak mendapat perhatian daripada pengguna di luar Jepun. Mereka menganggap produk Jepun sebagai mainan murahan.
 
Perkembangan Perniagaan Sony
 
              Pada tahun 1957, Akio Morita menemui para eksekutif sebuah syarikat pengeluar barang elektrik yang besar di Amerika Syarikat, iaitu Bulova, dan sesuatu yang memeranjatkan berlaku. Bulova amat meminati radio kecil Sony dan memesan sebanyak 100 000 buah tetapi dengan syarat, nama Sony pada radio tersebut ditukarkan kepada nama Bulova. Akio menolak tawaran tersebut. Akio terus berusaha memasarkan produk keluaran syarikat mereka, dan usaha ini termasuk cadangan untuk menubuhkan sebuah kilang Sony di Amerika Syarikat.
 
             Pada tahun 1960, Sony mengambil keputusan untuk menubuhkan Sony Corporation of America, Sony menghadapi ancaman mogok buat kali pertamanya tetapi berjaya diselesaikan dengan baik. Seterusnya, Sony menubuhkan pusat R&D dan merupakan bahagian terpenting dalam rancangan syarikat. Pada awal tahun 1990-an, Sony mempunyai seramai 9000 orang jurutera dan saintis, yang ada antaranya mencipta sehingga 1000 jenis barang setahun.
 
Kejayaan Akio Morita dan Sony
 
              Pada tahun 1960, Sony membuka pusat pameran yang pertama di daerah Ginza di Tokyo. Pada tahun 1962, Akio Morita membuka sebuah lagi bilik pameran, tetapi kali ini di New York, Amerika Syarikat, dan terletak di sebatang jalan berprestij, iaitu Fifth Avenue.
 
             Pada September 1970, Sony disenaraikan di Bursa Saham New York dan merupakan syarikat pertama yang sedar tentang potensi pasaran bagi pita video. Walaubagaimanapun, penjualan pita video Betamax buatan Sony, yang dilancarkan pada tahun 1975, tidak memberangsangkan kerana terdapatnya persaingan sengit daripada sistem VHS. Pada tahun 1971, Sony menubuhkan kilang di Wales, United Kingdom, dan pada masa yang sama, Sony Hawaii dan Sony Panama ditubuhkan. Sony juga mengadakan usahasama dengan syarikat rakaman antarabangsa CBS. Menjelang tahun 1992, 80% daripada kediaman di Jepun mempunyai perakam video, 61% sistem stereo dan 42% pemain cakera padat.
 
Faktor Penyumbang Kejayaan Akio Morita dan Sony
 
Berikut ialah faktor yang menyumbang kepada kejayaan Akio Morita dan Sony :
 
1) Pelaburan hanya ditumpukan terhadap perkara yang berkaitan secara langsung dengan barang keluaran yang dihasilkan.
2) Pelaburan kakitangan
3) Sikap dan budaya kerja orang Jepun yang amat berbeza berbanding orang Barat.
4) Sony tidak membezakan pekerja kolar biru dengan pekerja kolar putih
 
            Sepintas lalu, antara kejayaan terbesar Sony ialah pembelian seluruh syarikat CBS Records dengan harga US$2 billion pada tahun 1988, dan pada tahun 1989, Sony memperoleh hak terhadap ramai artis rakaman yang terkenal, misalnya Michael Bolton dan Mariah Carey. Pemerolehan CBS Records membantu Sony memperkenalkan minidisc dengan jayanya. CBS records kemudiannya ditukarkan namanya menjadi Sony Music Entertainment. Sesungguhnya Akio Morita banyka memberi ilham sehingga terciptanya kejayaan Sony Corporation. Pada 25 November 1994, Akio Morita meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga dan wakil Pengarah, selepas 48 tahun menubuhkan syarikat tersebut. Pada tahun 1997, Akio Morita meninggal dunia akibat masalah kesihatan.
 

Petikan dipetik dari buku
Rekacipta & Inovasi Dalam Perspektif Kreativiti
By Azhar Abd. Hamid, Mohd. Koharuddin Balwi, Mohammad Fauzi Othman & Othman A. Kassim

Monday 22 April 2013

Pengenalan

 


Hi..Saya Deepa Rajandran bernombor matrik SX100651CJJ04, merupakan pelajar tahun akhir di UTM SPACE, jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian).

Blog ini diwujudkan untuk merekod segala aktiviti yang di lakukan sepanjang kelas Keusahawan IT (SCD 4763) dan memuat naik tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah.